Sunday, June 26, 2011

DEMI SEBUAH BAHAGIA



Tips adalah buah. Manusia memang perlu kepada buah. Tetapi kita lebih membantu jika yang diberi adalah pokok yang menghasilkan buah.
Tips tidak mungkin dapat dilakukan, jika pokok dan akarnya tiada.
PETUA SENYUM UNTUK BAHAGIA
Mahu hidup bahagia, senyum setiap pagi.
Apakah manusia mampu senyum tanpa sebab?
Apakah manusia boleh melemparkan senyuman sejati jika tujuan senyumnya tidak dapat dikenal pasti.
Maka jika seseorang itu benar-benar mahu membahagiakan kehidupan seseorang, bantulah ia agar tersenyum sendiri. Senyum dari hati, yang bukan dibuat-buat tanpa erti.
ini petua segera, untuk cepat mengecap bahagia.
Namanya "Ingat 2 Lupa 2″
INGAT 1
Ingatlah kebaikan orang kepada kita.
Setiap kebaikan yang orang lakukan kepada kita, ingat-ingatkan selalu. Ia menerbitkan rasa betapa bertuahnya diri sering menerima kebaikan itu. Namun dalam banyak-banyak pihak yang memberikan kebaikan, ingatlah kebaikan Pihak yang paling berjasa kepada kita iaitulah ALLAH.
Hitunglah betapa baiknya Allah kepada kita.
Jika setiap hari kita balik bekerja, ada sejambak bunga di muka pintu, tidak teringinkah kita untuk kenal siapa pengirimnya? Tidak mahukah kita mengucapkan terima kasih kepadanya?
Jika kita bertuah memiliki ibu bapa yang penyayang, isteri yang baik hati, suami yang luhur budi, anak-anak penyejuk mata dan hati, tidak teringinkah kita untuk mengetahui siapa Pengirim semua itu kepada kehidupan ini?
LUPA 1
Di samping mengingati kebaikan orang kepada kita, lupa-lupakanlah kebaikan yang pernah kita lakukan kepada sesiapa. Jangan diungkit-ungkit, jangan disebut-sebut. Apatah lagi dengan tujuan mahu menyakiti.
"Hmm, kalau tidak kerana aku, tak berkubah masjid ini!" kata si sombong.
"Kan dulu aku pernah tolong engkau. Sekarang tibalah giliran untuk engkau menolong aku", ungkit si dia.
Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. (Al-Baqarah: 264)
Dan jangan sekali-kali diungkit ibadah kita kepada-Nya.
Segala-galanya terlalu halus, remeh dan kecil, jika dibandingkan dengan mana-mana nikmat yang pernah dikurniakan-Nya kepada diri ini.
INGAT 2
Setelah bercakap tentang kebaikan, ada seperkara yang perlu diingat selalu.
Ingat-ingatlah keburukan dan kesalahan yang pernah kita lakukan kepada manusia. Kenang selalu kesilapan kita pada tutur kata dan tingkah laku, jangan mudah dipadam dan dibiarkan pergi tanpa ada pelajaran yang diambil darinya.
Kenangkan ia, ingatkan selalu.
Bukan untuk menyeksa diri, tetapi agar berhati-hati.
Dalam banyak-banyak keburukan yang pernah kita lakukan kepada sesiapa, dosa dan kejahatan kita terhadap Allah itulah yang paling melata, setiap detik dan masa.
Istighfar selalu... kenang-kenangkan salah kita kepada Dia.
Sesungguhnya dosa yang paling merbahaya ialah apabila tiada rasa berdosa. Lupa pada segala jahat kita kepada-Nya, dek satu ujian yang ditimpakan-Nya ke atas kita.
Ingat-ingatlah kekurangan diri ini, kesilapan dan kesalahan yang pernah dilakukan selama ini, bukan untuk menyeksa diri, tetapi agar berhati-hati.
LUPA 2
Manakala keburukan dan kesalahan orang kepada kita, lupa-lupakanlah ia.
Manusia yang paling tidak bahagia ialah manusia yang gagal memaafkan kesalahan orang terhadapnya. Berdendam siang dan malam, memikul beban sepanjang masa.
Orang yang dimarahi sudah pun menyambung hidup gembira hati, kita yang gagal memaafkan dia, terus terseksa mengheret dirinya ke dalam diri, ke sudut mana sekali pun kita pergi.
Deritanya hidup jika gagal memberi maaf, gagal melupakan salah orang kepada kita.
MENGAPA PERLU MEMBERI MAAF
Mengapa harus kita segera menjadi pemaaf?
Kerana kitalah hamba yang mendambakan maaf dan ampun dari-Nya.
Kita hamba yang tak punya apa, sering berlaku dosa dan kurang pula tunduk taatnya. Maafkanlah manusia, agar Dia maafkan kita.
"Oh Allah, sebelum kulelapkan mata ini, ku maafkan isteriku atas kesilapan dan kekurangan dirinya. Ku maafkan setiap salah dan silap anak-anakku dan ahli keluargaku. Ku maafkan setiap manusia yang berkata buruk di depan dan di belakangku"
Semata-mata kerana aku dambakan ampunan-Mu.
Siapa aku untuk berdendam sesama hamba, kerana al-Muntaqim, hanyalah Engkau, Tuhan Yang Esa lagi Perkasa.
Maafkan aku, hamba yang berdosa.
Moga ada sinar bahagia, di hari muka.

beruntungnya menjadi seorang wanita


Darjat seorang wanita disisi Islam adalah sangat tinggi dan mulia. Wanita adalah golongan yang perlu dihormati, dijaga maruahnya, disayangi dan dikasihi . Seorang ibu yang telah berkorban seluruh jiwa dan raganya untuk melahirkan dan membesarkan anaknya adalah merupakan seorang wanita yang dipandang mulia oleh Allah S.W.T. Allah S..W.T akan mengurniakan pahala dan kebaikan yang berlipat kali ganda untuk para wanita yang sanggup berkorban di jalan Allah.
Berikut merupakan keistimewaan wanita menurut Islam yang telah disebutkan di dalam beberapa hadith sahih dan difirmankan oleh Allah S.W.T di dalam Al-Qur'an. Ini menunjukkan betapa Islam begitu menghormati dan menghargai para wanita yang solehah. Berbahagialah engkau wahai bidadari penghuni syurga !
1. Wanita yang solehah (baik) itu lebih mulia darjatnya daripada 70 orang lelaki yang soleh.
2. Barang siapa yang menggembirakan anak perempuannya, darjatnya seumpama orang yang sentiasa menangis kerana takutkan Allah S.W.T. Manusia yang takutkan Allah S.W.T pula akan diharamkan api neraka ke atas tubuhnya.
3. Barang siapa yang membawa hadiah (barang makanan dari pasar ke rumah) lalu diberikan kepada keluarganya, maka pahalanya adalah sama seperti bersedekah.
4. Hendaklah mendahulukan anak perempuan daripada anak lelaki. Maka barang siapa yang menyenangkan hati anak perempuannya pahalanya seolah-olah dia memerdekakan anak Nabi Ismail A.S.
5. Wanita yang tinggal bersama anak-anaknya akan tinggal bersama aku (Rasulullah s.a.w)
6. Barang siapa mempunyai tiga anak perempuan atau tiga saudara perempuan atau dua anak perempuan atau dua saudara perempuan, lalu dia bersikap ihsan dalam pergaulan dengan mereka dan mendidik mereka dengan penuh rasa takwa serta bertanggungjawab, maka baginya adalah syurga .
7. Daripada Aisyah r.a. "Barang siapa yang diuji dengan sesuatu daripada anak-anak perempuannya, lalu dia berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan menjadi penghalang baginya daripada api neraka".
8. Syurga itu letaknya di bawah telapak kaki ibu.
9. Apabila ayah dan ibumu memanggilmu serentak , Rasulullah s.a.w telah mengajar kita untuk menjawab panggilan ibu terlebih dahulu.
10. Wanita yang taat kepada suaminya akan tertutup untuknya pintu-pintu neraka dan terbuka baginya pintu-pintu syurga. Masuklah dari mana-mana pintu yang dia kehendaki tanpa dihisab.
11. Wanita yang taat akan suaminya, semua ikan-ikan di laut, burung-burung di udara, para malaikat di langit, matahari dan bulan, semuanya akan beristighfar untuknya selama mana dia masih taat kepada suaminya
12. Aisyah r.a. berkata "Aku bertanya kepada Rasulullah S.A.W, Siapakah yang lebih besar haknya terhadap wanita?" Jawab baginda, "Suaminya." "Siapa pula yang lebih berhak terhadap seorang lelaki ?" Tanya Aisyah kembali, Jawab Rasulullah S.A.W lagi, "Ibunya."
13. Perempuan apabila sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadan, memelihara kehormatannya serta taat akan suaminya, masuklah dia ke dalam syurga melalui pintu syurga yang mana satu yang dia kehendaki.
14. Setiap seorang perempuan yang menolong suaminya dalam urusan agama, maka Allah S.W.T. memasukkan dia ke dalam syurga lebih dahulu daripada suaminya (10,000 tahun).
15. Apabila seseorang perempuan mengandung janin dalam rahimnya, maka beristighfarlah para malaikat untuknya. Allah S.W.T. mengurniakan baginya setiap hari dengan 1,000 kebaikan dan menghapuskan darinya 1,000 kejahatan.
16. Apabila seseorang perempuan mulai sakit ketika hendak bersalin, maka Allah S.W.T. mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad pada jalan Allah S.W.T.
17. Apabila seseorang perempuan melahirkan anak, keluarlah dia daripada dosa-dosa seperti keadaan ibunya melahirkannya.
18. Apabila telah lahir (anak) lalu disusui, maka bagi ibu itu setiap satu tegukan daripada susunya diberi satu kebajikan.
19. Apabila semalaman (ibu) tidak tidur dan memelihara anaknya yang sakit, maka Allah S.W.T. memberinya pahala seperti memerdekakan 70 orang hamba dengan ikhlas untuk membela agama Allah S.W.T.
20. Seorang wanita solehah adalah lebih baik daripada 70 orang wali Allah S.W.T.
21. Seorang wanita yang jahat adalah lebih buruk dari pada 1,000 orang lelaki yang jahat.
22. 1 rakaat solat daripada wanita yang hamil adalah lebih baik daripada 80 rakaat solat wanita yang tidak hamil.
23. Wanita yang memberi minum air susu ibu kepada anaknya daripada badannya (susu badannya sendiri) akan dapat satu pahala dari pada tiap-tiap titik susu yang diberikannya.
24. Wanita yang melayani suaminya dengan baik apabila suaminya pulang ke rumah di dalam keadaan letih akan mendapat pahala jihad.
25. Wanita yang melihat suaminya dengan kasih sayang dan suami yang melihat isterinya dengan kasih sayang akan dipandang Allah dengan penuh rahmat.
26. Wanita yang membenarkan suaminya keluar berjuang di jalan Allah dan kemudian menjaga adab rumah tangganya akan memasuki syurga 500 tahun lebih awal daripada suaminya, wanita itu juga akan menjadi ketua kepada 70,000 malaikat dan bidadari syurga dan wanita itu akan dimandikan di dalam syurga, serta akan menunggu suaminya dengan menunggang kuda yang dibuat daripada yakut.
27. Wanita yang tidak cukup tidur pada malam hari kerana menjaga ananyak yang sakit akan diampunkan oleh Allah akan seluruh dosanya dan bila dia menghiburkan hati anaknya Allah akan memberi 12 tahun pahala beribadah.
28. Wanita yang memerah susu binatang dengan bacaan "Bismillah" akan didoakan oleh binatang itu dengan doa keberkatan.
29. Wanita yang menguli tepung gandum dengan  membaca "Bismillah", Allah akan berkatkan rezekinya.
30. Wanita yang menyapu lantai dengan berzikir akan mendapat pahala seperti meyapu lantai di baitullah.
31. Wanita yang hamil akan dapat pahala seperti berpuasa pada siang hari.
32. Wanita yang hamil akan dapat pahala seperti beribadat pada malam hari.
33. Wanita yang bersalin akan mendapat pahala 70 tahun solat dan puasa dan setiap kesakitan pada satu uratnya Allah akan mengurniakan satu pahala haji.
34. Sekiranya wanita meninggal dunia dalam masa 40 hari selepas bersalin, dia akan dikira sebagai mati syahid di jalan Allah.
35. Jika wanita melayani suami tanpa khianat akan mendapat pahala 12 tahun solat.
36. Jika wanita menyusui anaknya sehingga mencukupi  tempoh(2½ thn), maka malaikat-malaikat dilangit akan membawa khabar berita itu ke syurga dan syurga itu dikatakan adalah wajib baginya. Dan jika wanita memberi susu badannya kepada anaknya yang sedang menangis, InsyaAllah Allah akan memberikan padanya pahala satu tahun solat dan puasa.
37. Jika wanita memicit suami tanpa disuruh akan mendapat pahala 7 tola emas dan jika wanita memicit suami bila disuruh akan mendapat pahala 7 tola perak.
38. Wanita yang meninggal dunia dengan keredhaan suaminya akan memasuki syurga.
39. Jika suami mengajarkan isterinya akan sesuatu perkara yang tidak diketahuinya ,beliau akan mendapat pahala seperti 80 tahun beribadah.
40. Semua orang akan dipanggil untuk melihat wajah Allah di akhirat, tetapi Allah akan terus kepada wanita yang menutupi auratnya iaitu memakai purdah di dunia ini dengan istiqamah.
Oleh itu wahai para wanita muslimah yang dihormati dan disegani, bangkitlah dan niatkanlah setiap amalanmu adalah untuk mendapat keberkatan daripada Allah Yang Maha Esa. Semoga anda akan turut menjadi salah seorang wanita pilihan yang diberikan ganjaran syurga yang tiada tolok bandingnya diakhirat kelak. Amin.

lagi sayang..lagi di uji


"Abang, betul ke kalau Allah sayang kita, Dia akan uji kita dengan banyak ujian?" satu soalan singgah ke peti masuk mesej telefon saya.
"Macam mana kalau tak betul?"
Kepada adikku, inilah jawapan abangmu.
Adikku,
Apabila kamu persoalkan kasih sayang manusia kepada kamu, maka abang sangat berlapang dada bahawa manusia ini memang terlalu nipis lapis kasih dan sangat kecil pula kotak sayang yang mereka miliki. Banyak terjadi bayi kecil dibuang ke serata pelusuk yang tidak layak, para pemimpin pula sibuk mengeringkan tabungan rakyat laksana buaya lapar yang dahagakan mangsa.
Tetapi yang kamu persoalkan ini adalah kasih sayang Tuhan-Mu. Dia yang dengan jelas menyebut diri-Nya sebagai Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani, di setiap surah di dalam Al-Qur'an. Adakah sejak abang ke sini lantas kamu juga meringankan tilawah yang wajib ini?
Jika benar, maka mari abang mengajakmu supaya kita sama-sama menyelak kembali lembaran suci yang setiap ayatnya membersihkan jiwa ini. Perhatikan, bahawa Allah telah memberi peringatan kepada kita dengan firman-Nya: 
"Dan apabila Kami beri manusia merasai sesuatu rahmat, mereka bergembira dengannya (sehingga lupa daratan); dan jika mereka ditimpa sesuatu bencana disebabkan apa yang telah dilakukan oleh tangan mereka sendiri, tiba-tiba mereka berputus asa. Mengapa mereka bersikap demikian?) dan mengapa mereka tidak melihat (dengan hati mereka) bahawa Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya (sebagai cubaan adakah orang itu bersyukur atau sebaliknya), dan Ia juga yang menyempitkannya (sebagai ujian sama ada diterima dengan sabar atau tidak)? Sesungguhnya hal yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman."(Surah Ar-Rum: 36-37)
Ujian Kesempitan Adalah Hasil Kecuaianmu
Adikku,
Apakah rasamu mendengarkan ayat Alllah di atas? Tidakkah kamu melihat kesenangan dan kemudahan hidup sebagai ujian Allah, sama seperti kesempitan hidup yang kamu dakwakan sedang Allah timpakan kepada kamu sekarang?
Fikirkan juga wahai adikku, semua kesusahan yang kamu deritakan ini hanyalah berpunca dari kelalaianmu sendiri. Kamu gagal mendapatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaanmu, bukankah itu natijah dari kemalasan dan kekurangan strategimu dalam mengulangkaji pelajaran? Atau kamu masih angkuh menafikannya?
Kemudian, kamu sibuk mengatakan ummi asyik marahkan kamu, kawan-kawan pula gemar menaikkan darahmu, kenanglah semula wahai adikku. Sejauh mana kamu berakhlak dengan mereka? Apakah kamu benar-benar berlaku adil dengan mereka? Bahkan sekalipun kamu sudah berakhlak sebaiknya dengan mereka, sepatutnya kamu ingat kepada baginda Nabi sebagai manusia yang luar biasa akhlaknya tetap juga dilukai manusia.
Namun, jika ujianmu benar terlalu berat, tiada apa yang dapat abang nasihatkanmu melainkan mengajakmu supaya sentiasa bersabar. Bersabar, bersabar, dan teruslah bersabar kerana untuk orang-orang yang bersabar, ganjarannya adalah seinfiniti pahala. Itu janji Tuhan. Bersabarlah kerana deritamu ini sangat sedikit berbanding kehidupan akhirat nanti. Adakah dapat kamu bayangkan kesusahan dunia sekitar empat, lima tahun, puluhan tahun sekalipun jika dibandingkan dengan kebahagiaan akhirat yang tahunnya tidak akan habis?
Hidup ini bukanlah selama-lamanya, bahkan bukan lama pun. Apabila kamu sudah merasai kehidupan, maka bersedialah pula untuk mati. Ingatlah kepada kematian, fikirkanlah tentang akhirat, kamu akan insaf nanti.
Ujian Ini Nikmat Keimanan
Adikku, tidakkah kamu mengaku bahawa kamu ini orang beriman. Sedangkan jika benar, pastinya kamu pernah mendengar firman Allah ini,
"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta." (Surah Al-Ankabut: 3-4) 
Sekarang, persoalkan dirimu sendiri, mana bukti keimananmu? Adakah layak kamu mengaku beriman kepada Allah, kepada rasul-Nya, sedangkan kamu tidak yakin bahawa ujian ini daripada-Nya untuk menguji keimananmu?
Para sahabat nabi, mereka membenarkan iman mereka dengan menyediakan leher-leher mereka di medan perang untuk mengembangkan Islam. Bahkan seluruh para tabiin, hidup mereka tiada keseronokan melainkan dalam keasyikan bersama ujian dan tarbiyah daripada Allah. Maka jika ini menjadi bukti keimanan mereka, mengapa kita tidak sanggup membuktikan keimanan dengan menghadapi ujian hidup ini bersama kesabaran terhebat yang mampu kita persembahkan?
Alangkah Baiknya Bahawa Yang Mengatur Adalah Allah
Adik, hidup kita semalam, pagi tadi, dan sekarang Allah yang atur. Malah kalau kita mati sekejap lagi, itu pun Allah yang atur. Bukankah sangat baiknya hidup kita ini yang mengaturnya adalah Allah?
Atau fikirmu bahawa kamu sendiri dapat mengaturkan hidupmu dengan cara yang kamu sendiri mahu? Urusan kebahagianmu kamu uruskan sepenuhnya, tanpa cahaya petunjuk daripada Allah. Begitukah yang kamu mahu?
Jika kamu menjawab tidak, maka kembalikanlah keyakinanmu. Tuhan tidak mengujimu dengan sia-sia. Bahkan dia merancang untuk kamu kebaikan yang tidak dapat kamu bayangkan.
Pernah suatu hari Saiyidina Umar datang menghadap nabi dengan membawa beberapa orang tawanan. Di antara para tawanan itu terlihat seorang wanita sedang mencari-cari, lalu apabila dia mendapatkan seorang bayi di antara tawanan, dia terus mengambil bayi itu lalu mendakapkannya ke perut untuk disusui.
Lalu Rasulullah saw. bersabda: Bagaimana pendapat kamu sekalian, apakah wanita ini akan melemparkan anaknya ke dalam api? Para sahabat menjawab: Tidak, demi Allah, sedangkan dia mampu untuk tidak melemparnya. Rasulullah saw. bersabda: Sungguh Allah lebih mengasihi hamba-Nya daripada wanita ini terhadap anaknya.
Adik, ummi sayangkan kamu pun tidak sampai 0.001 peratus daripada Tuhan sayangkan kamu!